MDS Perkukuh Penyampaian Perkhidmatan Menerusi Inisiatif Turun Ke Lapangan 2026
SARIKEI: Inisiatif turun ke lapangan secara menyeluruh bakal dilaksanakan sepanjang tahun 2026 sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan kepada penduduk di Daerah Sarikei.
Majlis Daerah Sarikei (MDS) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa lawatan berjadual itu akan melibatkan Ahli-ahli Majlis, pegawai MDS serta kontraktor yang dilantik bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan.
Langkah tersebut membolehkan pihak Majlis meninjau sendiri pelaksanaan perkhidmatan di lapangan serta mengenal pasti isu-isu yang dihadapi komuniti setempat dengan lebih berkesan.
“Antara fokus utama yang akan diberi perhatian termasuk kerja-kerja pembersihan parit di kawasan perumahan dan premis perniagaan, perkhidmatan pemotongan rumput serta usaha mengekalkan tahap kebersihan persekitaran, khususnya di kawasan bandar,” katanya.
MDS turut berkata, pendekatan turun ke lapangan ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan, malah mengukuhkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, semua penduduk diseru agar terus memberikan kerjasama dan bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga kebersihan kawasan masing-masing demi mewujudkan persekitaran yang bersih, selamat dan kondusif. -EDISI UKAS