Pemegang Lesen Diingatkan Perbaharui Lesen Sebelum 11 Februari
SARIKEI: Semua pemegang lesen di bawah pentadbiran Majlis Daerah Sarikei (MDS) diingatkan supaya segera memperbaharui lesen masing-masing yang tamat tempoh sah pada 31 Disember lalu.
MDS dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa semua pelesen dikehendaki menjelaskan bayaran pembaharuan lesen bagi tahun 2026 bermula Januari hingga 11 Februari 2026, iaitu dalam tempoh 42 hari yang ditetapkan.
Menurut kenyataan itu, pembayaran yang dibuat selepas tempoh tersebut akan dikenakan surcaj sebanyak 10 peratus daripada kadar harga lesen asal.
"Selain itu, MDS turut menegaskan bahawa lesen yang gagal dijelaskan dalam tempoh satu tahun akan dibatalkan secara automatik oleh pihak majlis.
"Sehubungan itu, semua pemilik lesen disaran agar mengambil tindakan segera bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil terhadap premis atau perniagaan yang masih beroperasi tanpa lesen sah," katanya.
Orang ramai boleh membuat bayaran pembaharuan lesen secara terus di Pejabat Majlis Daerah Sarikei pada waktu pejabat yang ditetapkan.
Waktu operasi kaunter bayaran ialah Isnin hingga Khamis dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari dan 2 petang hingga 3 petang.
Manakala pada hari Jumaat, kaunter dibuka dari jam 8 pagi hingga 11.45 pagi dan disambung semula pada jam 2.15 petang hingga 3 petang.
MDS juga berharap semua pelesen dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dengan mematuhi tempoh dan peraturan yang ditetapkan demi kelancaran urusan pentadbiran serta penguatkuasaan pihak majlis. -EDISI UKAS