Belia Sarawak Berpeluang Cipta Kerjaya Dalam Bidang Aeroangkasa
KUCHING: APR Aviation Training Centre, sebuah institusi latihan penerbangan yang diiktiraf oleh Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), melihat potensi besar untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir penerbangan dalam kalangan anak Sarawak.
Pengarah pusat itu, Amiranorkisza Amirudin, berkata usaha itu penting bagi memastikan anak tempatan diberi peluang menyertai industri penerbangan sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negeri.
“Kami mahu melihat lebih ramai anak Sarawak menyertai bidang penerbangan dan seterusnya membantu membangunkan industri serta ekonomi negeri,” katanya ketika ditemui UKAS pada Asia Pacific Aerospace Conference & Exhibition (APACE) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Rabu.
Beliau memaklumkan bahawa APR sebelum ini pernah menjalinkan kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) kira-kira 10 tahun lalu dalam melatih jurutera pesawat, dan program tersebut disifatkan sebagai berjaya.
“Jika program seperti ini dapat diteruskan secara konsisten, saya percaya lebih ramai belia Sarawak akan berminat untuk menceburi bidang penerbangan,” ujarnya.
Menurutnya, industri penerbangan di Sarawak ketika ini masih berada pada peringkat awal, namun penubuhan AirBorneo dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan minat dan perkembangan sektor berkenaan.
“Bidang penerbangan di Sarawak belum berkembang sepenuhnya, tetapi dengan adanya AirBorneo, saya yakin lebih banyak minat akan timbul untuk menyertai industri ini,” katanya.
Sementara itu, program pendidikan percuma dalam bidang aeroangkasa yang ditawarkan menerusi Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dilihat membuka peluang luas kepada golongan lepasan sekolah untuk membina kerjaya dalam industri berteknologi tinggi.
Eksekutif Pengurusan Perkongsian dan Pembangunan Perniagaan CENTEXS, Nor Affiezah Menjeri, berkata inisiatif pendidikan percuma itu telah lama diperkenalkan, termasuk kemasukan ke CENTEXS yang tidak mengenakan sebarang bayaran pendaftaran.
Menurutnya, syarat kemasukan yang ditetapkan juga adalah minimum, iaitu lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lulus subjek Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.
“Dengan kelayakan minimum ini, pelajar sudah berpeluang untuk menceburi bidang aeroangkasa. Mereka boleh dibentuk menjadi tenaga kerja mahir dan membina masa depan dalam industri ini,” katanya.
Beliau turut menggalakkan golongan belia yang ingin mendapatkan sijil kemahiran secara percuma supaya menyertai program latihan yang ditawarkan oleh CENTEXS.
“Jika mahu pendidikan percuma, sijil dan peningkatan kemahiran, sertailah CENTEXS,” ujarnya.
Dalam pada itu, pengunjung pameran, Azrine, 33, berharap agar lebih ramai pemain industri tampil menyertai program seumpama itu pada masa akan datang.
“Saya berharap lebih ramai pemain industri dapat turut serta untuk mempromosikan produk, perkhidmatan atau apa sahaja berkaitan aeroangkasa,” katanya.
Penyertaan industri yang lebih meluas dijangka dapat meningkatkan pendedahan orang ramai terhadap potensi sektor aeroangkasa serta mengukuhkan ekosistem pembangunan bakat tempatan di Sarawak.- EDISI UKAS