Perbezaan Jantina Bukan Halangan Kejayaan Wanita Sarawak
KUCHING: Perbezaan jantina bukan lagi penghalang buat wanita di Sarawak untuk berjaya malah memegang jawatan-jawatan penting dalam pembangunan negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata stigma bahawa lelaki sahaja menjadi pemimpin dan pembuat dasar negeri tidak lagi wujud, sebaliknya peluang itu disediakan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina berdasarkan merit seseorang.
“Dalam susunan pegawai perkhidmatan awam Sarawak, kita telah memberi ruang kepada wanita untuk membuat keputusan di peringkat Sarawak di mana kita ada Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) yang baru dari kalangan wanita.
“Selain itu, inilah pertama kalinya Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) mempunyai Ketua Pegawai Eksekutif seorang wanita dan SEDC sebagai badan yang penting dalam ekonomi Sarawak, peranan wanita diperlukan untuk menyebarluaskan pembangunan ekonomi kita,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 Zon Borneo, di Kuching, pada Rabu.
Tambah beliau lagi, dengan pengenalan kepada ekonomi moden seperti tenaga hijau, hidrogen, ekonomi digital, aeroangkasa, industri kreatif dan teknologi tinggi, penglibatan wanita juga diperlukan.
“Kita memerlukan jurutera wanita dan Alhamdulillah di Jabatan Kerja Raya (JKR) sekarang banyak jurutera wanita, kita berkehendakkan saintis wanita, kita berkehendakkan pakar data wanita yang akan menjadi pakar analisis data, kita juga memerlukan usahawan teknologi wanita dan pemimpin wanita dalam setiap sektor baru ini.
“Tidak ada beza di antara wanita dan lelaki untuk berjaya kerana semuanya berteraskan pada merit masing-masing,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menekankan peranan wanita bukan sekadar membantu membangunkan negeri, malah memainkan peranan penting sebagai penggerak ekonomi keluarga, penjaga warisan budaya dan tonggak kestabilan sosial dalam komuniti masing-masing.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS