Projek RTP Naik Taraf Padang Bola Sepak Kampung Stenggang Fasa 2 Siap Sepenuhnya
BAU: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) menaik taraf Padang Bola Sepak Kampung Stenggang Fasa 2 bernilai RM100,000 telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pihak kampung dalam satu majlis ringkas penyerahan projek di Kampung Stenggang, pada Rabu.
Majlis penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar Billy Sujang melibatkan penyerahan rasmi daripada pihak kontraktor kepada Jawatankuasa Kampung Stenggang sebagai simbolik penyiapan projek.
Skop pelaksanaan projek ini merangkumi kerja-kerja menaiktaraf astaka serta pembesaran kawasan padang bola sepak bagi meningkatkan keselesaan, keselamatan dan fungsi kemudahan sukan sedia ada di kampung berkenaan.
Billy dalam ucapannya menzahirkan harapan agar kemudahan yang telah dinaiktaraf ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung khususnya golongan belia, selain memupuk budaya hidup sihat serta menggalakkan penganjuran aktiviti sukan di peringkat komuniti.
"Pentingnya kerjasama semua pihak dalam menjaga dan menyelenggara kemudahan awam agar manfaatnya dapat dinikmati dalam jangka masa panjang," katanya. -EDISI UKAS