Program Kesedaran Spesies Orkid, Perkukuh Pemuliharaan Biodiversiti Sarawak
MIRI: Penganjuran Program State-Level Orchid Species Awareness 2026 di Pustaka Negeri Sarawak, Miri menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan orkid serta kelestarian biodiversiti negeri.
Program pada Rabu itu hasil kerjasama strategik antara Pustaka Negeri Sarawak dan Persatuan Orkid Sarawak (Sarawak Orchid Society – SARORSO), dengan penyertaan wakil agensi kerajaan, rakan strategik, pendidik, pelajar serta masyarakat setempat.
Pengurus Wilayah Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Edison Ricket menegaskan peranan Pustaka bukan sekadar sebagai pusat bacaan, malah sebagai hab ilmu komuniti dan platform pembelajaran sepanjang hayat yang menyokong pendidikan, inovasi, kelestarian dan kesedaran alam sekitar.
Beliau turut menekankan bahawa Miri dan wilayah Sarawak Utara mempunyai kedudukan signifikan dalam landskap biodiversiti negeri kerana dikelilingi ekosistem semula jadi yang kaya, termasuk hutan, kawasan pantai dan tapak perlindungan, menjadikan penganjuran program pemuliharaan orkid di lokasi ini amat bertepatan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Orkid Sarawak, Tengku Dr. Auvaroza T. Abraham berkata, orkid bukan sahaja melambangkan keindahan alam, malah berfungsi sebagai penunjuk kesihatan ekosistem yang penting.
Menurut beliau, pendekatan pemuliharaan masa kini perlu digerakkan seiring inovasi lestari melalui penyelidikan, pendidikan dan amalan bertanggungjawab bagi memastikan usaha yang dilaksanakan bersifat praktikal, berimpak serta mampan dalam jangka panjang.
Program berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian ilmiah termasuk pembentangan mengenai kepentingan orkid Sarawak, aspek perundangan dan peraturan berkaitan spesies orkid oleh Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Hutan Sarawak, Ling Chea Yiing serta perkongsian mengenai taksonomi orkid dan kerjaya sebagai ahli taksonomi oleh Profesor Dr. Rusea Go.
Selain itu, sesi hibrid bersama pakar orkid antarabangsa, Dr. Simon Pugh-Jones turut memberi pendedahan mengenai perjalanan daripada golongan belia hingga profesional dalam bidang pemuliharaan orkid, sekali gus memberi inspirasi kepada pelajar dan generasi muda.
Program ini turut memberi penekanan kepada penglibatan belia dan sekolah melalui perkongsian model mikropropagasi pelajar JIVOM yang berjaya dilaksanakan di MRSM Kuching, dengan harapan inisiatif tersebut dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah di Miri dan kawasan sekitarnya. -EDISI UKAS