KUCHING: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerima kunjungan hormat delegasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi membincangkan kerjasama strategik sempena promosi dan publisiti Sambutan Hari Ulang Tahun (HUT) Ke-21 APMM, dalam satu pertemuan yang diadakan di Ibu Pejabat UKAS, di sini, pada Khamis.
Kunjungan tersebut menjadi platform penting bagi memastikan sambutan HUT Ke-21 APMM mendapat liputan media yang menyeluruh serta menggalakkan penglibatan komuniti secara berkesan merentasi pelbagai platform media.
Delegasi APMM diketuai oleh Pengarah Unit Komunikasi Korporat Ibu Pejabat APMM, Salawati Yahaya, dan disambut oleh Timbalan Pengarah UKAS, Mohamed Faizal Shah Ali.
Dalam pertemuan berkenaan, APMM mencadangkan kerjasama strategik bersama UKAS dalam aspek promosi dan publisiti sambutan, termasuk pelaksanaan kempen media serta aktiviti berasaskan komuniti bagi memastikan sambutan HUT Ke-21 APMM dilaksanakan dengan lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Kerjasama itu turut dicadangkan untuk memanfaatkan sepenuhnya media tempatan, media sosial dan platform digital sebagai saluran penyampaian maklumat berkaitan keselamatan maritim secara bersepadu, sekali gus mendekatkan peranan dan fungsi APMM dengan masyarakat.
Melalui jalinan kerjasama strategik ini juga, promosi Sambutan HUT Ke-21 APMM diharap dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, selari dengan usaha memperkukuh pemahaman masyarakat terhadap peranan APMM dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan negara terus terpelihara.
Dalam kunjungan sama, APMM turut membentangkan peranan serta fungsinya dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara, khususnya di Sarawak, sebagai usaha berterusan meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan keselamatan maritim. -EDISI UKAS