Bakat Tempatan Pemacu Industri Aeroangkasa Sarawak
KUCHING: Pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dikenal pasti sebagai teras utama dalam usaha merealisasikan industri aeroangkasa di Sarawak, dengan penekanan awal diberikan kepada pendidikan, latihan kemahiran dan pembentukan bakat tempatan secara menyeluruh.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Sarawak tidak boleh melangkah ke fasa pelaksanaan industri aeroangkasa tanpa terlebih dahulu memastikan ketersediaan tenaga kerja yang memiliki kepakaran teknikal serta kemahiran praktikal selari dengan keperluan industri.
Menurut beliau, pendidikan akademik semata-mata tidak mencukupi tanpa disokong latihan praktikal, peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling) bagi melahirkan tenaga kerja yang benar-benar bersedia memasuki industri.
“Kita mesti bermula dengan pendidikan terlebih dahulu. Kita tidak boleh bercakap tentang membangunkan industri ini tanpa kepakaran dan bakat yang mencukupi,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa institusi latihan teknikal dan kemahiran memainkan peranan penting dalam melahirkan juruteknik serta tenaga kerja sokongan yang berkemahiran tinggi, sebagaimana amalan di negara-negara maju yang mewajibkan graduan menjalani latihan kemahiran sebelum menyertai industri.
Mengulas perkembangan semasa, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn memaklumkan bahawa beberapa institusi pendidikan di Sarawak telah mula menawarkan program berkaitan aeroangkasa, termasuk penghasilan graduan dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO) yang dijangka bermula seawal Februari ini.
“Bagi i-CATS sahaja, seramai 28 pelajar kini mengikuti pengajian kejuruteraan aeroangkasa dan secara keseluruhan dianggarkan sekitar 5,000 pelajar sedang mengikuti pengajian dalam bidang berkaitan seperti sains, kejuruteraan, kewangan dan perakaunan di pelbagai institusi,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pendekatan berfokuskan pembangunan modal insan ini akan menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan industri aeroangkasa Sarawak secara mampan, sekali gus memastikan negeri ini berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran pembangunan menjelang tahun 2036. - EDISI UKAS