MPKS Perkukuh Kualiti & Integriti Kontraktor Perkhidmatan Majlis
KOTA SAMARAHAN: Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) telah menganjurkan sesi taklimat khas kepada semua kontraktor perkhidmatan majlis di bawah Bahagian Kesihatan Awam, Persekitaran dan yang berlangsung di Bilik Jahitan, Dewan Suarah Kota Samarahan pada Khamis.
Ini bagi memastikan kualiti serta integriti penyampaian perkhidmatan terus diperkukuh.
Taklimat itu bertujuan memastikan semua kontraktor memahami dan mematuhi sepenuhnya garis panduan, spesifikasi kerja serta terma kontrak yang telah ditetapkan oleh pihak majlis.
Dalam sesi berkenaan, MPKS turut menegaskan kepentingan pematuhan terhadap standard kerja yang ditetapkan serta menitikberatkan aspek integriti, dengan menyeru kontraktor agar melaksanakan tugas secara telus, amanah dan bertanggungjawab selaras dengan nilai dan etika kerja MPKS.
MPKS berharap penganjuran taklimat ini dapat memperkukuhkan kerjasama strategik antara pihak majlis dan kontraktor, seterusnya menyokong usaha berterusan dalam mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, selamat dan sejahtera demi kesejahteraan penduduk di kawasan pentadbiran MPKS. -EDISI UKAS