Biro Pendidikan Islam Sarawak Salur RM1 Juta Kepada Institut Dakwah Islamiah PERKIM
KELANTAN: Kerajaan Sarawak menerusi Biro Pendidikan Islam Sarawak menyalurkan sumbangan berjumlah RM1 juta bagi pembinaan asrama pelajar lelaki Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP).
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dana tersebut sebagai usaha bersama menyediakan infrastruktur yang baik kepada institut tersebut yang terletak di negeri Kelantan.
"Kita mempunyai asrama yang baik untuk penuntut perempuan dan kita hendaklah kita membangunkan asrama yang baharu dan selamat untuk pelajar lelaki.
"Untuk ini kita akan membangunkan semula asrama ini di bawah PERKIM Kelantan dan Biro Pendidikan Islam Sarawak menyumbang RM1 juta," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyampaian Sijil Kali Ke-29 IDIP di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak (KIJP), Sultan Ismail Petra, Panji di sini pada Khamis.
Beliau yang juga Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan menambah, pendidikan merupakan asas utama dalam membangunkan ummah, khususnya dalam melahirkan generasi berilmu dengan pendekatan Islam yang bersifat universal.
"Kerja dakwah ini adalah sukarela, semangat sukarelawan ini adalah penting di dalam kita hendak membangunkan masyarakat kita khasnya Islam. Dan ini adalah bersifat universal dan pendekatan kita hendaklah universal. Yang penting ialah membangunkan keperibadian Islam supaya mindanya juga hendaklah universal," ujarnya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak turut memperuntukkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada PERKIM Kelantan.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato' Dr. Mohamed Fadzli Dato' Hassan, Tengku Puan Temenggong Kelantan merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Yang Mulia Tunku Puan Sri Dato' Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr. Hazland Abang Hipni, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan Dato Dr Mohamad Marzuki Mohamad Omar serta yang lain. - EDISI UKAS