Yang di-Pertua Negeri Sarawak Terima Kunjungan Hormat Majlis Datuk-Datuk Persekutuan Malaysia
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada delegasi Majlis Datuk-Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) diketuai oleh Presidennya, Datuk Tee Guan Pian di kediaman rasminya pada Khamis.
Kehadiran delegasi bertujuan memperkenalkan barisan kepimpinan MDPM selain mendapatkan nasihat serta pandangan daripada beliau.
Delegasi MDPM terdiri daripada Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Timbalan Presiden Datuk Dr Ahmed Tasir Lope Pihie, Setiausaha Agong Datuk Wira Rosli Mat Hassan, Naib Presiden I Datuk Abdul Razak Dawood, Naib Presiden II Datuk Mohd Nawawi Awang, Ahli-Ahli EXCO Datuk Gnanasambatham Doraisamy dan Datuk Jacky Chai Chaun serta Datuk Adrian Wei Hua Ung.
Kunjungan hormat tersebut turut bertujuan memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli majlis dengan institusi tertinggi negeri.
Turut dibincangkan adalah perkara-perkara berkaitan perpaduan, sumbangan sosial, kebajikan dan peranan ahli-ahli yang menyandang gelaran Persekutuan dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat di Sarawak selaras dengan agenda nasional.
Dalam pada itu, Yang di-Pertua Negeri Sarawak turut berkongsi pandangan bahawa perpaduan kaum di Sarawak merupakan satu contoh yang amat baik di mana rakyat yang berbilang kaum sentiasa hidup dalam keadaan harmoni dan keakraban.
Pada masa sama, beliau menzahirkan penghargaan kepada MDPM atas kesudian mengeratkan lagi hubungan yang baik bersama rakyat Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery