Dato Sri Fatimah Terima Anugerah Khas Sempena ASPN 2025
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah telah menerima Anugerah Khas daripada Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf) bersempena dengan Anugerah Sukan Pekak Kebangsaan (ASPN) 2025, pada Khamis.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufik Johari, sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi, kepimpinan serta sokongan berterusan Dato Sri Fatimah terhadap komuniti pekak, khususnya peranan penting beliau dalam penganjuran Sukan Pekak Malaysia ke-22 (SOPMA XXII) yang berjaya dilaksanakan di Sarawak.
Kepimpinan inklusif beliau telah memastikan sukan pekak terus mendapat pengiktirafan dan sokongan di peringkat negeri dan kebangsaan.
Majlis penyampaian anugerah tersebut berlangsung pagi tadi di Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur dan dihadiri kepimpinan MSDeaf, wakil badan sukan kebangsaan, atlet-atlet pekak negara serta tetamu kehormat.
Dalam kenyataannya, beliau merakamkan penghargaan atas pengiktirafan tersebut dan menegaskan komitmen beliau untuk terus mempromosikan pembangunan sukan yang inklusif.
“Saya amat berbesar hati menerima Anugerah Khas ini dan menganggapnya sebagai pengiktirafan kepada seluruh komuniti sukan pekak di Malaysia.
"Atlet-atlet pekak telah membuktikan bahawa keterbatasan bukanlah penghalang kepada kejayaan. Sokongan berterusan terhadap sukan inklusif akan terus diperkukuh bagi melahirkan atlet bertaraf dunia,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden MSDeaf, Dr Ong Shin Ruenn, berkata anugerah ini mencerminkan penghargaan tinggi komuniti terhadap Dato Sri Fatimah, seorang menteri dari Sarawak, serta visi dan komitmen beliau.
Beliau turut menyatakan bahawa kejayaan SOPMA XXII diperkukuh lagi dengan pengumuman insentif kemenangan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, yang telah memberi dorongan kepada atlet-atlet pekak untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
MSDeaf berharap penganugerahan Anugerah Khas ini akan terus memperkukuh kerjasama antara kerajaan, badan sukan dan komuniti dalam melahirkan atlet pekak yang berdisiplin, berdaya saing serta bertaraf dunia di Malaysia. -EDISI UKAS