Hospital Sibu Pertama Miliki MRI Jantung Hampir Bebas Helium Di Malaysia
SIBU: Hospital Sibu melonjak ke hadapan dalam keupayaan diagnostik kardiovaskular apabila menjadi hospital pertama di Malaysia dilengkapi teknologi Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) jantung yang hampir bebas helium, sekali gus memperluas akses rawatan pakar kepada pesakit di wilayah tengah Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata, teknologi tersebut bukan sahaja terkini, malah menandakan peralihan signifikan daripada MRI konvensional yang lazimnya memerlukan penggunaan helium dalam jumlah besar untuk sistem magnet.
Menurut beliau, keupayaan menjalankan imbasan jantung meletakkan Hospital Sibu pada tahap lebih tinggi, memandangkan teknologi itu jauh lebih kompleks berbanding MRI biasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan pelancaran mesin berkenaan di Hospital Sibu, pada Jumaat.
Perolehan aset tersebut direalisasikan menerusi kolaborasi strategik antara Yayasan Jantung Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia, 20 penderma serta Philips Malaysia.
Inisiatif berkenaan bermula daripada sumbangan 20 penderma yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM2.02 juta, manakala Kementerian Kesihatan Malaysia turut menyalurkan peruntukan RM1,208,018 bagi menaik taraf fasiliti penempatan mesin tersebut.
Dengan adanya teknologi itu, pesakit tidak lagi perlu ke Kuching untuk mendapatkan perkhidmatan imbasan jantung, sekali gus mengurangkan beban perjalanan dan mempercepat akses kepada rawatan.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim berkata, cardiac MRI membolehkan doktor menilai bekalan darah ke jantung serta mengesan arteri tersumbat dengan lebih tepat.
Selain itu, katanya, teknologi berkenaan turut menentukan sama ada otot jantung masih berfungsi atau telah mati, yang menjadi faktor kritikal dalam menentukan keberkesanan rawatan lanjut seperti pembedahan pintasan (bypass), belon atau pemasangan stent.
Mesin tersebut juga berupaya menjalankan pelbagai jenis imbasan lain termasuk otak dan seluruh badan, sekali gus memperkukuh keupayaan diagnostik Hospital Sibu sebagai antara hab perubatan utama di Sarawak.-EDISI UKAS