SERIAN: Program TEGAP+1 yang dilaksanakan di SMK Tebakang menyasarkan peningkatan kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 sehingga 97 peratus.
Inisiatif itu turut menerima sokongan apabila Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Martin Ben menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 bagi memperkukuh pelaksanaannya.
Beliau berkata, sasaran tersebut mampu dicapai sekiranya semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar memainkan peranan masing-masing secara konsisten.
“Pelajar perlu berdisiplin dan berkorban masa dengan memperuntukkan sekurang-kurangnya dua hingga empat jam sehari untuk ulang kaji dalam tempoh lapan bulan akan datang,” katanya ketika berucap semasa program berkenaan di sini pada Jumaat.
Program itu turut menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya tiga pelajar memperoleh keputusan semua A, selain sekurang-kurangnya 30 pelajar mencapai minimum 5A.
Sementara itu, Pengetua SMK Tebakang, Benjamin Spencer Latif, berkata pelbagai pendekatan telah dirangka termasuk tuisyen berfokus, bengkel teknik menjawab, program mentor-mentee serta latihan tubi berterusan.
Menurutnya, aspek motivasi, pengisian rohani serta penghargaan kepada pelajar yang menunjukkan peningkatan prestasi turut diberi penekanan bagi memastikan keberkesanan program.
Terdahulu, sekolah berkenaan mencatatkan peningkatan keputusan SPM 2025 dengan kadar kelulusan 95.14 peratus.-EDISI UKAS