Pelajar Diseru Tetapkan Azam Capai Kecemerlangan Pendidikan
DARO: Kepentingan menetapkan azam serta komitmen tinggi dalam mencapai kecemerlangan akademik terus ditekankan sebagai asas melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pelajar perlu mempunyai matlamat jelas dalam pendidikan termasuk berusaha melanjutkan pengajian ke peringkat universiti demi masa depan yang lebih cerah.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Kongsi Raya Tahun Baharu Cina & Hari Raya Aidilfitri anjuran SMK Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Normah, Daro di sekolah tersebut, pada Khamis.
Menurut beliau, sebagai wakil rakyat, komitmen untuk menyokong pembangunan pendidikan di kawasan Parlimen Igan akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
Sementara itu, pada majlis tersebut, seramai 125 pelajar menerima sumbangan menerusi Program Jom Ke Sekolah 2026 Kawasan Parlimen Igan daripada Yayasan Taqwa MAIWP dengan jumlah keseluruhan RM22,875 bagi membantu meringankan beban keluarga serta menyokong keperluan persekolahan.
Selepas majlis, Ahmad Johnie meninjau beberapa kemudahan sekolah termasuk bilik guru, bilik mesyuarat dan bilik pusat sumber yang dikenal pasti memerlukan kerja-kerja baik pulih bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada warga sekolah.-EDISI UKAS