Persiapan Akhir Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Asajaya 2026 Berjalan Lancar
ASAJAYA: Persiapan akhir bagi Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Peringkat Daerah Asajaya 2026 berjalan lancar selepas satu sesi raptai penuh dan tinjauan teknikal dijalankan di Kompleks Sukan Asajaya, pada Jumaat.
Tinjauan yang diketuai oleh Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin, bertujuan memastikan setiap perincian atur cara mematuhi protokol yang ditetapkan bagi menyambut kehadiran tetamu kehormat serta masyarakat setempat pada hari Sabtu kelak.
Fokus utama tinjauan merangkumi pemeriksaan rapi terhadap susun atur kerusi dan meja bagi zon Kenamaan, termasuk ketepatan tagging nama dan semakan teks salutasi bagi mengelakkan sebarang ralat protokol.
Selain itu, aspek teknikal seperti sistem siar raya diuji bagi memastikan kelancaran persembahan nyanyian pra-majlis serta ucapan rasmi.
Majlis yang bertemakan 'Raya Menseya' ini dijangka akan diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang sebagai tetamu kehormat utama. -EDISI UKAS