Dari SMK Merbau Ke Istana Negara: Theodora Angkat Nama Sarawak
KUALA LUMPUR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Miri melakar sejarah tersendiri apabila salah seorang pelajarnya, Theodora Pei Ern Huei menerima penghormatan tertinggi apabila dititahkan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah di Istana Negara di atas kecemerlangan beliau di peringkat antarabangsa.
Memetik satu hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, SMK Merbau meraikan detik bersejarah ini yang bukan sahaja mengharumkan nama sekolah, malah mengangkat nama Sarawak ke peringkat tertinggi.
Lebih istimewa, ia merupakan jemputan khas Istana yang julung kali diadakan dan hanya 30 orang murid terpilih dari seluruh Malaysia menerima penghormatan setinggi ini.
Ini merupakan satu peluang yang amat sukar diperoleh, satu pengiktirafan tertinggi negara, dan satu detik yang terpahat dalam sejarah SMK Merbau.
Warga SMK Merbau amat berbangga dengan kejayaan Theodora yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah menonjol dalam bidang kokurikulum sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Kecemerlangan itu turut diserlahkan menerusi penerimaan Anugerah Tokoh Pelajar, Anugerah Bintang Kokurikulum dan Anugerah Bintang Akademik sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2025, sekali gus membuktikan keunggulan beliau sebagai pelajar holistik dan beraspirasi tinggi.
Kejayaan Theodora bukan sahaja menjadi kebanggaan sekolah, malah menjadi obor inspirasi kepada seluruh anak-anak Merbau bahawa usaha yang konsisten, disiplin yang tinggi serta keberanian untuk bermimpi besar mampu membawa seseorang ke pentas tertinggi negara.
Teruslah melangkah dengan yakin, Theodora dan kepada anak-anak Merbau yang lain, percayalah setiap impian itu mungkin menjadi nyata jika kalian tidak pernah berhenti berusaha.-EDISI UKAS