Projek Bina Baharu Tempat Letak Kereta Hospital Bau Siap Sepenuhnya
BAU: Isu kekurangan tempat letak kereta di Hospital Bau kini mendapat penyelesaian apabila projek pembinaan baharu fasiliti berkenaan berjaya disiapkan sepenuhnya.
Projek di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2025 melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM199,905.50.
Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Datuk Henry Harry Jinep telah mengadakan lawatan tapak ke projek berkenaan pada Jumaat bagi meninjau kemajuan dan tahap kesiapsiagaan projek tersebut.
Pembinaan yang bermula pada 14 Oktober 2025 itu menyediakan sebanyak 60 lot tempat letak kereta dengan setiap ruang berukuran enam meter panjang dan 2.8 meter lebar, sekali gus dijangka dapat mengurangkan masalah kekurangan parkir sedia ada di fasiliti kesihatan berkenaan.
Dalam lawatan ringkas tersebut, Datuk Henry turut menggesa pihak kontraktor agar melaksanakan penambahbaikan terhadap beberapa bahagian yang dikenal pasti tidak menepati aspek keselamatan serta boleh menjejaskan keselesaan pesakit, pelawat dan kakitangan hospital sebelum penyerahan tapak projek kepada pihak pengurusan Hospital Bau yang dijadualkan pada minggu hadapan.
Dengan siapnya inisiatif penambahan infrastruktur tempat letak kereta ini, ia dijangka mampu menampung keperluan pesakit dan pelawat serta meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan di Hospital Bau.-EDISI UKAS