Kerajaan Sarawak Komited Siapkan Projek Tebingan Sungai Limbang
LIMBANG: Meskipun berdepan cabaran teknikal termasuk kegagalan cerun di beberapa fasa awal, Kerajaan Sarawak kekal komited memastikan Projek Tebingan Sungai Limbang dapat disiapkan sepenuhnya dalam tahun ini, selaras dengan perancangan pembangunan bandar dan penganjuran acara berskala besar di daerah berkenaan.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, kegagalan cerun atau slip failure yang berlaku di Fasa Pertama dan Kedua sebelum ini berpunca daripada faktor geografi serta struktur tanah yang lembut di kawasan tebing sungai.
Menurut beliau, situasi tersebut memerlukan kerja pembaikan serta pembinaan semula secara menyeluruh bagi menjamin keselamatan dan kestabilan jangka panjang projek.
“Projek ini agak mencabar kerana ia dibina di kawasan tebing sungai yang mempunyai keadaan tanah tidak begitu stabil.
"Justeru, kawasan Fasa Satu dan Fasa Dua yang mengalami slip failure terpaksa dibina semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa mengadakan Lawatan Kerja ke Tapak Projek Tebingan Sungai Limbang, di sini pada Jumaat.
Mengulas perkembangan semasa, Datuk Dr Abdul Rahman memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan semula di kawasan terjejas kini berada di peringkat akhir.
Beliau berkata, kerajaan negeri bersama pihak perunding dan kontraktor sedang memperhebatkan usaha bagi memastikan projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual, selewat-lewatnya pada bulan April ini.
“Saya telah berbincang dengan pihak terlibat supaya projek ini dapat disiapkan sebelum April, memandangkan tahun ini Limbang akan menganjurkan beberapa program besar termasuk Pesta Limbang yang dijadualkan berlangsung pada Julai,” katanya.-EDISI UKAS