Tiada Pengumuman Tarikh PRN Sarawak Dalam Masa Terdekat
KUCHING: Pengumuman tarikh bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 tidak akan dibuat dalam masa terdekat ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, meskipun PRN wajib diadakan selepas tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN), namun keperluan untuk mengadakannya pada waktu terdekat tidak mendesak buat masa ini.
“Apabila tempoh penggal berakhir, kita memang perlu melaksanakan PRN, tetapi bukan dalam masa terdekat kerana tempohnya masih panjang,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi memaklumkan bahawa PRN Sarawak dijangka berlangsung tahun ini, namun menegaskan bahawa penentuan tarikh dan bulan pelaksanaannya adalah hak prerogatif Premier Sarawak.
Untuk rekod, PRN Sarawak ke-12 yang terakhir berlangsung pada 18 Disember 2021 dan kini, Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN.-EDISI UKAS