Sarawak Perkukuh Keupayaan Ramalan Cuaca Jika Miliki Satelit Sendiri
KUCHING: Sarawak berpotensi meningkatkan ketepatan ramalan cuaca secara setempat sekiranya negeri ini berjaya mengoperasikan satelit sendiri di angkasa lepas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata, kaedah ramalan cuaca konvensional pada masa ini masih bersifat terlalu umum dan kurang tepat dari segi lokasi, sekali gus menyukarkan persediaan serta perancangan di peringkat tempatan.
“Dengan kata lain, pada masa ini kita tidak lagi mampu membuat ramalan dengan tepat dan oleh itu, kita sedang merangka pendekatan baharu untuk memantau keadaan cuaca.
“Apa yang diperlukan satelit yang lebih maju yang mampu mengenal pasti dengan tepat apa yang akan berlaku di sesuatu lokasi dan jika itu dapat dilakukan, apakah langkah seterusnya? Kita mesti memiliki satelit kita sendiri di angkasa lepas,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa teknologi satelit telah mengalami perubahan besar, tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada satelit konvensional berskala besar, sebaliknya menggunakan teknologi ‘Low Earth Orbit’ (LEO) serta nanosatelit yang dikenali sebagai CubeSat.
Dalam usaha membangunkan kepakaran tempatan, Kerajaan Sarawak telah menawarkan Fakulti Aeroangkasa di Universiti i-CATS, sebuah universiti milik Sarawak, bagi membolehkan pelajar Sarawak mempelajari ilmu aeroangkasa dan teknologi satelit secara langsung.
“Kita mahu pelajar Sarawak mempelajari ilmu aeroangkasa dan, akhirnya, diharapkan kita mampu membina CubeSat sendiri untuk dihantar ke angkasa lepas dan melalui satelit ini, imej dapat dirakam bagi mengenal pasti apa yang terdapat di bumi.
“Inilah ekonomi baharu, di mana kita mengetahui kedudukan gunung-ganang, laut dan kawasan daratan, sekali gus memberi gambaran tentang struktur bumi serta potensi perancangan pembangunan di kawasan tertentu,” jelas beliau lagi.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Pengerusi Lembaga Pengarah Pendidikan Antarabangsa Yayasan Sarawak Sdn Bhd Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Setiausaha Persekutan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini, George Embie & Shahril