Persiapan Kontinjen Zon Utara SUKSAR IV 2026 Diperhebat
MIRI: Persediaan atlet Kontinjen Zon Utara bagi menghadapi Sukan Sarawak (SUKSAR) IV 2026 terus diperhebatkan dalam usaha memburu kejuaraan pada edisi kali ini.
Ini dinyatakan oleh Residen Bahagian Miri, Galong Luang, semasa meninjau persiapan dan kesiapsiagaan atlet serta kemudahan latihan yang digunakan menjelang kejohanan sukan berprestij peringkat negeri itu.
Sesi lawatan bermula di Kampung Sukan PETRONAS, Miri sebelum rombongan dibawa melawat beberapa pusat latihan utama lain termasuk Gim Stadium Miri, Miri Basketball Association, Warmonger Training Academy, Marina Times Square serta Gelanggang Bola Keranjang Piasau Garden pada Jumaat.
Menurut beliau, lawatan berkenaan penting bagi memastikan kemudahan latihan berada pada tahap optimum selain mengenal pasti sebarang keperluan penambahbaikan demi menyokong prestasi atlet dan kelancaran persiapan pasukan.
Lawatan ini turut memberi ruang kepada pihak pengurusan dan agensi berkaitan untuk menilai kesesuaian prasarana sedia ada serta menyelaras sokongan berterusan terhadap pembangunan sukan di peringkat bahagian.-EDISI UKAS