YSISS Kuching Tawar Pendidikan Antarabangsa Berkualiti, Perkasa Mobiliti Sosial Pelajar Sarawak
KUCHING: Penubuhan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) Kuching mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam menyediakan akses pendidikan antarabangsa berkualiti tinggi kepada pelajar berpotensi, khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, walaupun sekolah tersebut mula beroperasi pada 11 Mac 2024, pelancarannya hari ini melambangkan usaha besar dan visi jangka panjang untuk melahirkan generasi masa depan Sarawak yang berilmu, beretika dan berdaya saing di peringkat global.
Menurut beliau, penubuhan YSISS adalah berlandaskan prinsip bahawa setiap anak, tanpa mengira latar belakang keluarga, berhak mendapat peluang pendidikan yang adil dan berkualiti sebagai laluan mobiliti sosial.
“Kami percaya bahawa pendidikan merupakan alat paling berkuasa bagi sesebuah keluarga mengubah perjalanan hidup mereka dan mencapai mobiliti sosial ke tahap yang lebih baik.
"Misi kami adalah untuk mendekati mereka yang mempunyai potensi besar tetapi kekangan dari segi kemampuan dan kami berusaha merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin, serta antara masyarakat bandar dan luar bandar,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, di sini pada Sabtu.
Beliau menjelaskan, YSISS menekankan pembangunan pelajar secara holistik melalui penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, pelaksanaan kurikulum Cambridge yang diiktiraf antarabangsa, pemupukan kemahiran abad ke-21 seperti pemikiran kritis dan kreativiti, serta pemerkasaan pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah untuk menjadi pemimpin masa depan Sarawak.
Setakat ini, YSISS Kuching menempatkan seramai 318 pelajar bagi Tingkatan Tahun 7 hingga Tahun 9, disokong oleh 32 guru akademik dan 19 kakitangan bukan akademik.
Pencapaian akademik pelajar turut membanggakan apabila pelajar Tahun 7 mencatat kadar kelulusan 100 peratus bagi subjek ‘English as a Second Language’ (ESL), ‘Global Perspectives’ dan Geografi, manakala pelajar Tahun 8 merekodkan kelulusan penuh bagi ESL dan ‘Art & Design’ serta 95 peratus bagi Sains.
Selain kecemerlangan akademik, pelajar YSISS turut mengharumkan nama sekolah di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa dalam bidang inovasi, STEM, teknologi dan sukan, termasuk memenangi anugerah di Persidangan Teknologi dan Inovasi Antarabangsa (TECHON 2025), pertandingan pengaturcaraan mikro kebangsaan serta kejohanan catur dan olahraga.
Bagi menyokong pembelajaran moden, sekolah ini dilengkapi 20 bilik darjah papan pintar, enam makmal sains serta bantuan komputer riba percuma kepada pelajar daripada kumpulan B40 bagi mengurangkan kebergantungan kepada buku teks fizikal.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Pengerusi Lembaga Pengarah Pendidikan Antarabangsa Yayasan Sarawak Sdn Bhd Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Setiausaha Persekutan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini, George Embie & Shahril