Usahawan Kraf Wanita Sarawak Disasar Tembusi Pasaran Antarabangsa
KUCHING: Kerajaan menyasarkan lebih ramai usahawan kraf wanita dari Sarawak mampu menembusi pasaran antarabangsa seiring peningkatan pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memacu ekonomi kreatif negara.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Sri Nancy Shukri berkata, wanita penggiat kraf di wilayah ini memiliki bakat semula jadi yang sangat bernilai, termasuk keupayaan mengolah elemen alam seperti bunga-bungaan dan daun-daun liar menjadi produk yang boleh dikomersialkan.
Menurutnya, usaha tersebut bukan sahaja memastikan warisan budaya terus dipelihara, malah berupaya meningkatkan taraf hidup serta membangunkan perniagaan kraf yang berdaya saing.
“Hari ini wanita penggiat kraf sudah dipandang tinggi dan saya sangat bangga melihat pencapaian mereka. Kita mahu lebih ramai wajah baharu serta lebih ramai usahawan kraf wanita Sarawak dikenali di peringkat antarabangsa.
“Apabila wanita diperkasa, keluarga menjadi lebih kukuh, ekonomi setempat berkembang dan masyarakat menjadi lebih sejahtera,” katanya ketika berucap merasmikan Women Artisan Leadership Program (WALP) 2026 anjuran kementerian beliau melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI), di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Dato' Sri Nancy turut berkongsi pengalaman peribadinya membesar dalam keluarga yang terlibat dalam industri kraf dan makanan tradisional.
“Saya sendiri membesar dalam industri ini. Ibu saya menghasilkan kuih dan kraf tangan. Dari situ saya belajar bahawa wanita mampu berdikari, mempunyai pendapatan sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain,” ujarnya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa lebih ramai wanita Sarawak tampil merebut peluang yang disediakan untuk meningkatkan kemahiran, memperluaskan jaringan serta mengembangkan perniagaan kraf ke tahap lebih tinggi, termasuk menembusi pasaran luar negara.
Tegasnya, kerajaan dan pelbagai agensi akan terus membuka ruang serta menyediakan sokongan berterusan, namun kejayaan sebenar bergantung kepada keberanian wanita sendiri untuk melangkah ke hadapan.
Program WALP 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 29 Januari hingga 1 Februari ini dilihat sebagai platform strategik dalam memperkasa wanita penggiat kraf, khususnya dalam membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran keusahawanan serta memonetisasi bakat dan kreativiti agar mampu menjana pendapatan mampan.
Hadir sama di program tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita Hanani Sapit, Ahli Majlis Wanita Jabatan Pembangunan Wanita Datu Dr Rashidah Bolhassan, Pakar Rujuk Adat Warisan Orang Ulu Dr Ipoi Datan, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Craft Council (SCC) Suriya Charles Buas dan beberapa kenamaan lain. -EDISI UKAS