Pa’ Umor Kini Miliki Gelanggang Bola Tampar Pertama di Bario
BARIO: Penduduk Kampung Pa’ Umor kini boleh berbangga apabila sebuah gelanggang bola tampar baharu berjaya dibina hasil usaha gotong-royong komuniti setempat dengan sokongan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Gelanggang bola tampar Pa’ Umor itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala di Pa’ Umor, Bario, petang Khamis.
Datuk Gerawat memberitahu, gelanggang tersebut merupakan satu-satunya gelanggang bola tampar yang terdapat di kawasan Bario setakat ini dan pembinaannya dilaksanakan sepenuhnya menerusi semangat gotong-royong penduduk kampung.
Katanya, projek berkenaan dibiayai melalui peruntukan MRP bagi kawasan Mulu dengan kos keseluruhan berjumlah RM17,000.
“Sejak sekian lama, penduduk Pa’ Umor sememangnya aktif dalam sukan bola tampar, khususnya pada hujung minggu, namun sebelum ini mereka tidak mempunyai kemudahan gelanggang yang sempurna,” katanya.
Beliau turut berharap agar kemudahan tersebut dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk Kampung Pa’ Umor dengan kampung-kampung berdekatan, di samping menjadi platform untuk menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti sukan dan riadah.
“Saya berharap suatu hari nanti akan lahir pemain bola tampar yang berkaliber dan berpotensi mewakili peringkat lebih tinggi hasil daripada kemudahan ini,” katanya.-EDISI UKAS