Sarawak Water Perkukuh Budaya Integriti Melalui Sambutan Hari Integriti 2026
MIRI: Sarawak Water Sdn Bhd terus komited membudayakan amalan tadbir urus berintegriti menerusi penganjuran Sambutan Hari Integriti Sarawak Water 2026 bertemakan “Integrity Starts With Us” pada Jumaat.
Program berkenaan menghimpunkan kira-kira 500 peserta terdiri daripada pengurusan tertinggi, warga Sarawak Water, ketua-ketua jabatan serta pemimpin masyarakat dari seluruh Sarawak.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang yang hadir mewakili Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.
Dalam amanat Menteri yang dibacakan, penekanan diberikan bahawa integriti bukan sekadar slogan atau pematuhan kepada peraturan bertulis, sebaliknya merupakan nilai teras yang perlu bermula daripada diri setiap individu.
Menurut beliau, sistem dan undang-undang yang kukuh tidak akan berkesan tanpa kejujuran, amanah dan tanggungjawab moral dalam kalangan warga kerja, khususnya dalam organisasi yang memegang amanah kepentingan awam seperti Sarawak Water.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap tindakan warga kerja mencerminkan imej organisasi, manakala kepercayaan rakyat hanya dapat dibina melalui hasil kerja yang bersih, telus dan konsisten.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal, berkata Hari Integriti bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya mencerminkan jati diri dan hala tuju organisasi sebagai penjaga amanah bekalan air rakyat Sarawak.
Beliau menjelaskan bahawa integriti dalam konteks Sarawak Water bukan hanya bermaksud bebas daripada rasuah, malah merangkumi ketulusan dalam melaksanakan tugas, akauntabiliti dalam pengurusan kewangan serta kejujuran dalam memastikan kualiti kerja walaupun tanpa pengawasan.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datu Jafri Lias, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Wan Mohamad Wan Drahman, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak Ahmad Selihin Che Said dan tetamu lain.-EDISI UKAS