Sarawak Pertama Di Malaysia Bangunkan Sekolah Antarabangsa
KUCHING: Sarawak mencipta sejarah sebagai negeri pertama di Malaysia yang membangunkan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri sekali gus memperluas akses pendidikan bertaraf dunia dan berkualiti kepada anak-anak di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, berkata sebanyak lima sekolah antarabangsa telah dibangunkan di bawah Yayasan Sarawak dengan dua daripadanya masing-masing di Petra Jaya dan Batu 12, Kuching, kini beroperasi.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen jangka panjang kerajaan negeri dalam memperkukuh modal insan melalui pendidikan berkualiti tinggi berpiawaian antarabangsa, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi pelajar.
“Dalam dasar kita, kita ingin memberi ilmu yang secukup-cukupnya kepada anak-anak Sarawak yang mempunyai potensi tanpa mengira latar belakang dan status mereka sama ada anak dari keluarga berpendapatan rendah, pertengahan mahupun keluarga yang berkemampuan.
“Kerana bagi saya, kalau kita hendak membangunkan masyarakat kita yang mempunyai piawan ataupun ‘standard’ antarabangsa, mereka mesti mempunyai ilmu yang terkini selaras dengan tahap dunia yang akan menjadi asas untuk anda membangunkan negeri ini,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) di sini pada Sabtu.
Premier Sarawak menambah, pemilihan silibus mengikut silibus Cambridge di sekolah antarabangsa ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dengan piawaian antarabangsa selain membuka laluan kepada mereka untuk bersaing di peringkat global.
Bagaimanapun katanya, selain menggunakan silibus Cambridge iaitu ‘The International General Certificate of Secondary Education’ (IGCSE), sekolah ini masih mengikut polisi pendidikan negara yang mewajibkan matapelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Moral atau Pendidikan Islam untuk diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sementara itu ketika diminta pemberita mengulas mengenai status sekolah antarabangsa di Miri dan Bintulu, Datuk Patinggi Abang Zohari mendedahkan status terkini projek berkenaan telah dilaksanakan manakala sebuah lagi masih dalam perancangan.
“Sekarang telah memasuki fasa pembinaan di mana untuk bahagian Miri sekolah berkenaan akan dibina di dalam kawasan Bekenu yang telah bermula dan proses tendernya telah diputuskan dan begitu juga untuk Bintulu.
“Kita ada lima sekolah antarabangsa di mana satu lagi masih dalam perancangan,” jelas beliau.
Hadir sama, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee, Pengerusi Lembaga Pengarah Pendidikan Antarabangsa Yayasan Sarawak Sdn Bhd Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Setiausaha Persekutan Sarawak Dato Ahmad Nadzri Mohd Hassan, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Junaidi Mohidin serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Hazrin Sunaini, George Embie & Shahril