26 Kontinjen Sertai Perarakan Niti Daun Gawai Dayak Mukah 2026
MUKAH: Sebanyak 26 kontinjen melibatkan lebih 1,000 peserta memeriahkan Perarakan Niti Daun sempena Sambutan Hari Gawai Dayak Peringkat Daerah Mukah 2026 yang berlangsung di Dataran Pehin Setia Raja, pada Sabtu.
Perarakan yang disertai pelbagai agensi kerajaan, jabatan, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO), sekolah rendah dan menengah serta komuniti setempat itu mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di daerah ini.
Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, Perarakan Niti Daun bukan sekadar platform untuk memelihara adat dan budaya masyarakat Dayak, malah menjadi medium penting dalam mengukuhkan perpaduan antara kaum.
Menurutnya, penyertaan pelbagai etnik termasuk Iban, Melanau, Melayu, Cina, Bidayuh dan Orang Ulu dalam acara tersebut membuktikan semangat kebersamaan yang menjadi kekuatan masyarakat Sarawak.
“Hari ini, kita dapat melihat pelbagai kaum menyertai perarakan ini. Kehadiran semua pihak memberikan contoh terbaik mengenai keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
“Semangat serta kesefahaman seperti ini merupakan nilai murni rakyat Sarawak yang perlu terus dipelihara dan diperkukuhkan,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.
Selain itu, Dato Hanifah turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga, khususnya ketika berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu.
Dalam program yang sama, bagi pertandingan kontinjen terbanyak, kategori sekolah rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Saint Patrick manakala kategori sekolah menengah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Three Rivers.
Bagi kategori persatuan dan NGO, kemenangan menjadi milik Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Mukah, manakala kategori agensi dan jabatan dimenangi oleh Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM).
Sementara itu, Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) Mukah muncul johan Pertandingan Sepanduk, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Three Rivers dinobatkan sebagai johan keseluruhan Program Niti Daun Peringkat Daerah Mukah 2026.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, Residen Bahagian Mukah Bujang Rahman Seli dan Pegawai Daerah Mukah Peleadzman Ahip.-EDISI UKAS