Sarawak Rancang Perluas Pengeluaran Ikan Empurau Bernilai Tinggi
KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang memanfaatkan kawasan sekitar Empangan Baleh untuk mewujudkan habitat semula jadi yang mampu menyokong pengeluaran ikan empurau, sekali gus memperluaskan pasaran spesies ikan premium tersebut pada masa hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, usaha itu akan dilaksanakan melalui penanaman pokok yang menghasilkan sumber makanan semula jadi bagi ikan empurau di kawasan sekitar empangan berkenaan.
“Di Kapit, kita ada empangan Baleh. Sungai yang dekat Baleh itu, di tepinya kita nak tanamkan pokok, yang mengeluarkan makanan untuk empurau.
“Maka kita boleh mewujudkan keadaan semula jadi untuk empurau dan kita boleh memperluaskan pasaran empurau,” katanya.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, usaha tersebut merupakan antara langkah yang boleh dilaksanakan bagi memanfaatkan sumber semula jadi Sarawak untuk menjana nilai ekonomi yang lebih tinggi.
Ujarnya lagi, empurau yang dikenali sebagai antara ikan air tawar paling bernilai di Sarawak mempunyai potensi besar untuk dipasarkan kepada segmen premium, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan sektor tenaga dan infrastruktur, malah terus memperkukuh agenda sekuriti makanan serta pengeluaran hasil tempatan yang mempunyai nilai komersial tinggi.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang