JKR Tonggak Pelaksanaan Projek Pembangunan Sarawak
BINTANGOR: Jabatan Kerja Raya (JKR) terus menjadi agensi pelaksana utama dalam merealisasikan pelbagai projek pembangunan kerajaan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di seluruh Sarawak.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab berkata, kejayaan pelaksanaan projek pembangunan banyak bergantung kepada kepakaran teknikal, pengalaman serta komitmen warga JKR.
Beliau berkata, pelbagai projek infrastruktur termasuk pembinaan jalan raya, jambatan, sekolah, klinik dan kemudahan awam dilaksanakan oleh JKR sebagai agensi yang mempunyai kepakaran kejuruteraan dan teknikal yang lengkap.
“Apabila kerajaan meluluskan projek pembangunan seperti jalan raya, jambatan atau kemudahan awam lain, JKR memainkan peranan penting untuk memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dan mengikut perancangan.
“Begitu juga dengan projek membaik pulih sekolah, klinik serta kemudahan lain yang memerlukan kepakaran teknikal dan kejuruteraan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Pengrami Gawai yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Sian, di sini pada Jumaat.
Dato Yusuf yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia berkata, JKR bukan sahaja melaksanakan projek pembangunan di kawasan bandar, malah turut turun padang ke kawasan luar bandar untuk mengenal pasti keperluan sebenar rakyat.
Ujarnya, pendekatan tersebut membolehkan lebih banyak projek yang benar-benar diperlukan penduduk dapat dikenal pasti dan dipertimbangkan dalam perancangan pembangunan kerajaan.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi pengalaman mengenali Pengarah JKR Sarawak yang pernah menjalani latihan industri di syarikat perunding miliknya pada tahun 1997.
Beliau berkata, pencapaian individu berkenaan sehingga berjaya menerajui JKR Sarawak membuktikan pendidikan dan ilmu pengetahuan mampu melahirkan tenaga profesional yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negeri.
Tambahnya, Sarawak kini sedang melalui fasa pembangunan yang pesat, justeru lebih ramai tenaga mahir dan profesional diperlukan bagi menyokong pelaksanaan pelbagai projek strategik pada masa hadapan.
Turut hadir ialah Pengarah JKR Sarawak Datu Dr Cassidy Morris. -EDISI UKAS