Pembangunan Infrastruktur Pacu Kemajuan Kawasan Luar Bandar Sarawak
KUCHING: Pembangunan infrastruktur yang dilaksanakan secara agresif oleh Kerajaan Sarawak terus menjadi pemangkin kepada kemajuan kawasan luar bandar dengan membuka akses yang lebih baik kepada kemudahan, pasaran serta peluang ekonomi untuk rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pelaksanaan projek jalan raya dan jambatan di seluruh negeri telah berjaya menghubungkan kawasan luar bandar dengan pusat-pusat pertumbuhan ekonomi, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar.
Menurut beliau, kemudahan infrastruktur yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah meningkatkan nilai ekonomi hasil tempatan melalui akses pasaran yang lebih luas.
“Apabila kita membangunkan kawasan luar bandar, luar bandar akan menjadi bandar kerana infrastrukturnya cukup dan cara hidup kita pun bertukar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Farley Garden Kuching, di sini, pada Sabtu.
Menurut Datuk Patinggi Abang Zohari, dalam tempoh enam tahun lalu, kerajaan negeri telah menyiapkan lebih 20 projek jambatan di seluruh Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh jaringan perhubungan negeri.
Beliau berkata, pembinaan infrastruktur tersebut telah memberi impak langsung kepada masyarakat luar bandar apabila hasil pertanian dan produk tempatan dapat dipasarkan dengan lebih mudah serta memperoleh nilai yang lebih tinggi.
Beliau turut memberi contoh peningkatan harga hasil tempatan di beberapa kawasan selepas siapnya projek jambatan dan jalan raya yang memudahkan akses kepada pasaran, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai projek jalan raya baharu bagi mempertingkatkan kesalinghubungan antara kawasan pembangunan.
Ujarnya, usaha memperluas rangkaian infrastruktur itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih seimbang dan inklusif di seluruh Sarawak.
Beliau menegaskan bahawa pembangunan infrastruktur akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri dalam memastikan manfaat kemajuan Sarawak dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.
Pada masa sama, beliau menyifatkan pembangunan pusat perniagaan dan pasar raya moden seperti Farley sebagai pelengkap kepada agenda pembangunan negeri, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan perkhidmatan kepada rakyat.
Terdahulu, Premier Sarawak telah mengadakan ‘walkabout’ dan ‘Live Run’ Program Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026.
Beliau telah menyaksikan sendiri demonstrasi transaksi pembelian barangan keperluan asas menggunakan bantuan SKAS di Pasar Raya Farley sebagai sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaae, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap, Pengerusi Kumpulan Farley Lau Siew Whye dan Pengarah Kumpulan Farley Eising Lau. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang