SIBU: Penganjuran pertandingan nyanyian wajar diperluaskan kepada pertandingan ciptaan lagu, khususnya lagu Tahun Baharu Cina, bagi memperkukuh ekosistem industri muzik tempatan serta memberi pengiktirafan kepada penggiat seni di sebalik tabir.
Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee, menegaskan pembangunan bakat muzik tidak seharusnya tertumpu kepada penyanyi sahaja, sebaliknya perlu merangkumi komposer, penulis lirik, pemuzik dan penggiat produksi.
“Penyanyi yang tampil di pentas disokong oleh ramai pengamal muzik di belakang tabir. Oleh itu, platform yang lebih menyeluruh perlu diwujudkan untuk memastikan kesinambungan dan kemajuan industri muzik tempatan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Pertandingan Menyanyi Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina, di sini pada Jumaat.
Beliau mencadangkan pertandingan ciptaan lagu Tahun Baharu Cina supaya apabila orang membicarakan lagu Tahun Baharu Cina Malaysia, mereka akan mengingati Persatuan Muzik Rajang Sibu dan menantikan karya baharu dari persatuan itu.
Selain itu, Datuk Michael Tiang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan berkata komuniti Cina memiliki kreativiti tinggi dan yakin keupayaan muzik tempatan mampu menghasilkan karya baharu yang boleh dipersembahkan melalui nyanyian dan tarian.
Beliau turut mencadangkan agar karya baharu itu diterjemahkan ke dalam bentuk video muzik dengan penglibatan artis jemputan, sekali gus meningkatkan nilai komersial dan capaian promosi. -EDISI UKAS