Setiausaha Kerajaan Sarawak Tinjau Tapak Projek Pejabat Daerah Siburan Baharu & Kuarters Kediaman
SIBURAN: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan prasarana pentadbiran di Daerah Siburan menerusi cadangan pembinaan Pejabat Daerah Siburan yang baharu serta kuarters kediaman kerajaan selaras dengan keperluan pembangunan pesat kawasan berkenaan.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengadakan lawatan kerja ke daerah itu bagi meninjau tapak cadangan pembinaan projek berkenaan pada Sabtu.
Dalam sesi taklimat dan perbincangan di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Siburan, beberapa perkara utama telah dibentangkan termasuk kesesuaian tapak, perancangan pembangunan, keperluan kemudahan sokongan serta impak projek terhadap pentadbiran dan kesejahteraan kakitangan kerajaan di daerah berkenaan.
Cadangan projek ini amat signifikan memandangkan Daerah Siburan telah dinaik taraf sebagai Daerah penuh pada tahun 2021, sekali gus memerlukan kemudahan pentadbiran yang lebih komprehensif dan sistematik.
Pembinaan Pejabat Daerah Siburan baharu dijangka menjadi salah satu mercu tanda pembangunan pesat di Daerah Siburan, sejajar dengan aspirasi Kerajaan Sarawak untuk memperkasa perkhidmatan awam di peringkat akar umbi.
Kerajaan Sarawak komited memastikan setiap perancangan pembangunan dilaksanakan secara teratur dan berimpak tinggi demi kepentingan rakyat serta kemajuan negeri secara keseluruhan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Pengarah Unit Pentadbiran Rusmaliza Mat Darus, Residen Bahagian Serian Caroline Cleophas Joseph, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Sharifah Liz Farawati Wan Omar serta pegawai lain. -EDISI UKAS