BINTULU: Perkembangan pesat sukan elektronik (e-sukan) membuktikan bidang tersebut kini muncul sebagai sebuah industri berpotensi yang berupaya membentuk generasi muda lebih berdisiplin, berdaya saing serta berkemahiran tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, e-sukan bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya berperanan sebagai platform penting dalam pembangunan bakat belia di peringkat tempatan dan nasional.
Menurut beliau, pengiktirafan e-sukan sebagai sukan rasmi negara serta penyenaraiannya sebagai disiplin teras membuktikan bidang itu semakin diterima dan diberi perhatian serius oleh kerajaan.
“Seperti sukan tradisional, e-sukan memerlukan disiplin tinggi, fokus, kerjasama berpasukan, pemikiran strategik serta kekuatan mental. Kesemua elemen ini amat penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri pemain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri dan merasmikan Majlis Pelancaran Honor of Kings Tournament 4.0 2026 yang berlangsung di Kompleks Beli-Belah Boulevard, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan peranan penting ibu bapa dalam membimbing anak-anak yang berminat dalam e-sukan agar dapat mengimbangi antara pembelajaran, latihan serta kehidupan sosial.
Katanya, sokongan keluarga disertai kawalan yang seimbang mampu memastikan perkembangan bakat muda dalam e-sukan berjalan secara sihat dan berterusan.
Pada masa sama, Johnny Pang memuji usaha Junior Chamber International (JCI) Jalan Tanjung Kidurong bersama jawatankuasa penganjur yang menyediakan platform tersusun dan beretika bagi membolehkan pemain muda menonjolkan bakat dalam suasana kompetitif.
“Penganjuran kejohanan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah menggalakkan semangat kesukanan, kepimpinan serta kerjasama dalam kalangan belia,” ujarnya.
Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu menghimpunkan ramai peminat e-sukan dan sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan terhadap perkembangan industri digital serta sukan moden di Bahagian Bintulu.- EDISI UKAS