PUSAKA Terus Perkasa Tadbir Urus Berintegriti, Sahut Aspirasi PCDS 2030
KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh tadbir urus, integriti serta budaya berprestasi tinggi dalam sektor industri berasaskan hutan dan perkayuan, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata pencapaian yang diraih oleh Perbadanan Pembangunan Industri Kayu Sarawak (PUSAKA) membuktikan keupayaan organisasi itu untuk kekal relevan, progresif dan berdaya saing, seiring dengan agenda Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh tadbir urus dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
“Pendekatan kepimpinan yang inklusif serta berpandangan jauh telah membolehkan PUSAKA terus memberi impak positif kepada pihak berkepentingan, khususnya dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri melalui pengurusan sumber hutan yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang 2026 PUSAKA di Hotel Grand Margherita, di sini, pada Sabtu.
Datuk Amar Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan PUSAKA turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan PUSAKA memperoleh pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) serta muncul sebagai penerima tunggal Anugerah Emas (Sektor Awam) sempena Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah 2025.
Beliau menegaskan, pengiktirafan tersebut bukan sekadar pencapaian organisasi, malah mencerminkan komitmen tinggi warga kerja PUSAKA dalam mengamalkan integriti, akauntabiliti dan budaya kerja berprestasi tinggi.
Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah berkata penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 pada majlis berkenaan merupakan manifestasi penghargaan terhadap kecemerlangan prestasi, profesionalisme dan komitmen berterusan pegawai serta kakitangan PUSAKA.
“Di sebalik kejayaan ini, terdapat ramai ‘unsung heroes’ yang menjadi nadi kekuatan organisasi. Sumbangan kolektif inilah yang memastikan PUSAKA terus berperanan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi mampan Sarawak,” ujarnya.
Beliau turut menekankan keperluan penjajaran sektor industri kayu dengan PCDS 2030, yang menuntut pelaksanaan dasar secara konsisten dan berkesan, termasuk penekanan terhadap pelaburan berkualiti, pembangunan industri bernilai tambah tinggi serta pematuhan kepada prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Sehubungan itu, beliau menyeru agar PUSAKA terus memainkan peranan proaktif sebagai agensi peneraju dalam memacu transformasi industri perkayuan ke arah lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di peringkat global, selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) Sarawak.
Majlis berkenaan turut diadakan bagi menghargai jasa dan sumbangan warga PUSAKA yang telah bersara, selain mengiktiraf pegawai serta kakitangan yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli & Pembangunan Bandar, Datu Abdullah Julaihi, Penasihat PUSAKA, Datu Hashim Bojet, Pengurus Besar PUSAKA, Datu Zainal Abidin Abdullah, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohamad dan tetamu yang hadir. -EDISI UKAS