KUCHING: Hero Bowling Sarawak berjaya mempertahankan kejuaraan mereka pada Kejohanan Boling Tenpin Piala Berpasukan Sarawak Hornbill (SHTC) yang berakhir di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa pada Ahad.
Pasukan yang dibarisi kapten merangkap pengurus pasukan Melvin Gilbert Gimang, Chong Jun Foo, Bong Kihow dan Daniel Tan Han Yan itu mengumpul 40 mata sepanjang empat hari pertandingan sengit.
Memasuki hari terakhir dengan 30 mata dan berkongsi kedudukan kedua bersama Sunway Megalanes A, Hero Bowling menjatuhkan keseluruhan 1,397 pin untuk menamatkan saingan di tempat kedua di belakang Four Of A Kind (1,417) dalam Baker 4 Dual Battle, sekali gus meraih 10 mata dan menjadikan jumlah keseluruhan 40 mata untuk menjuarai piala cabaran itu buat tahun kedua berturut-turut.
Selain itu, mereka turut membawa pulang wang tunai RM10,000 dan pingat.
Skuad MSNS-ABAS Sarawak 1 pula menduduki tempat kedua keseluruhan dengan 37 mata, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi Sunway Megalanes A dengan 30 mata dan Sunway Megalanes B dengan 27 mata.
MSNS-ABAS Sarawak 1 menerima RM5,000 dan pingat, manakala pasukan Sunway Megalanes A dan B masing-masing membawa pulang RM3,000 dan pingat, serta RM1,000 dan pingat.
Bong, yang bercakap bagi pihak Hero Bowling, berkata kejayaan mempertahankan gelaran itu sebahagian besarnya hasil daripada kerja berpasukan dan komunikasi yang kukuh.
Beliau berkata pasukan berdepan tekanan hebat ketika bersaing dengan pemain boling terbaik, namun kekal bermotivasi dan bersatu sepanjang kejohanan.
“Komunikasi adalah kunci. Kami saling mempercayai dan membuat lontaran yang tepat,” katanya sambil menyifatkan pertandingan itu mencabar sehingga perlawanan terakhir,
Beliau dan rakan sepasukan turut melahirkan kepuasan dengan keputusan yang dicapai serta optimis untuk mempertahankan piala cabaran itu sekali lagi tahun hadapan.
Hadir menyampaikan hadiah ialah Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS) Sunny Si Poh Heng, Timbalan Presiden ABAS Saifulbahri Shukri, Setiausaha Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) Maradona Chok, serta tetamu lain. - EDISI UKAS