KUCHING: Tindakan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang membawa isu mengenai penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum syarikat itu di Sarawak menimbulkan kecurigaan politik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, walaupun perkara ini dibawa ke mahkamah, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan negeri membenarkan mahkamah membuat keputusan dan sebarang andaian di luar mahkamah perlu diabaikan.
Menurut beliau, tindakan membawa perkara ini ke mahkamah adalah inisiatif Petronas, dan bukan pihak kerajaan negeri.
"Kadang-kadang, kecurigaan kita timbul kerana dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mahkamah mempunyai pengaruh besar, termasuk kaitan dengan PETRONAS.
"Bahkan, Perdana Menteri sendiri ada kaitan dengan PDA 74, maka ada pihak membuat andaian bahawa tindakan Petronas ini mungkin mendapat 'restu' daripada Perdana Menteri.
"Inilah kecurigaan politik yang timbul, walaupun kita masih berada dalam kerajaan perpaduan di peringkat Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis 'Walk For Health' Bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Taman Botani Sarawak, Petra Jaya, pada Ahad.
Namun begitu jelasnya, Kerajaan Sarawak akan kekal bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan sehingga Pilihan Raya yang akan datang.
Ujarnya, pendirian beliau jelas bahawa GPS akan bertanding di semua kerusi di Sarawak tanpa kompromi dengan mana-mana parti lain, dan keputusan muktamad akan ditentukan oleh Yang Dipertua Parti serta Presiden GPS Datuk Patinggi Abang Zohari.
"Ini kerana kita mampu menguruskan diri sendiri dan pada masa yang sama terus memajukan Sarawak tanpa campur tangan pihak luar.
"Saya juga ingin menasihatkan, khususnya kepada pihak tertentu di Semenanjung yang ingin mengeruhkan suasana, supaya berhati-hati kerana apabila masyarakat sudah besar akan susah untuk mengawalkan keadaan," ujarnya. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini