Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Perkukuh Jalinan Kerajaan dan Komuniti di Kakus
SELANGAU: Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Johny Jimbun, Bukit Dinding, Jalan Selangau–Mukah pada Sabtu menjadi medan penting mempertemukan pemimpin kerajaan dengan rakyat serta ketua-ketua masyarakat bagi membincangkan isu dan keperluan setempat secara bersemuka.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kakus, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, penyediaan gelanggang dan kemudahan sukan perlu diberi perhatian bagi menyediakan ruang aktiviti sihat kepada golongan belia, sekali gus mengelakkan mereka daripada terlibat dalam kegiatan tidak berfaedah.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengemukakan aduan berkaitan masalah bekalan elektrik, talian telefon dan perkhidmatan internet melalui media sosial kerana tindakan tersebut boleh menimbulkan salah faham.
Sebaliknya, aduan hendaklah disalurkan melalui saluran rasmi supaya tindakan susulan dapat diambil dengan lebih berkesan, tegasnya.
Menyentuh isu tanah, beliau menjelaskan bahawa tanah yang telah diukur secara keliling boleh terus dimajukan tanpa perlu menunggu pengukuran individu.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa bermula tahun 2026, pelantikan Tuai Rumah, Penghulu, Pemanca dan Temenggung perlu mempunyai sekurang-kurangnya kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Namun begitu, individu yang tidak memiliki kelulusan tersebut masih boleh dipertimbangkan sekiranya mempunyai pengalaman bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta.
Dalam aspek pendidikan, beliau memaklumkan bahawa bermula tahun hadapan, tiada lagi dana bantuan pendidikan di bawah jagaan beliau berikutan kemasukan ke institusi pendidikan milik Kerajaan Sarawak telah dibiayai sepenuhnya.
Selain itu, Kerajaan Sarawak turut menyediakan elaun pendidikan sebanyak RM1,200 setahun kepada pelajar anak Sarawak yang melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 75 borang keahlian baharu Parti Rakyat Sarawak (PRS) DUN Kakus telah diserahkan kepada Dato Sri John Sikie Tayai.
Beliau turut menyampaikan Sijil Pelanjutan Jawatan kepada sembilan orang Ketua Kaum serta mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM25,000 kepada JKKK Rh. Johny Jimbun bagi menyokong pembangunan dan aktiviti setempat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta telah menyerahkan cek MRP kepada 40 buah JKKK dengan jumlah keseluruhan RM707,500.
Selain itu, Dana Pendidikan berjumlah RM29,200 turut disampaikan kepada 26 orang pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Majlis anjuran JKKK Rh. Johny Jimbun itu turut dihadiri wakil Pejabat Daerah Mukah, Pejabat Daerah Kecil Balingian, barisan penghulu, pemimpin masyarakat serta wakil agensi berkaitan yang mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat dalam usaha memajukan kawasan luar bandar. - EDISI UKAS