DBKU Raih ASEAN Clean Tourist City Award 2026–2028
KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sekali lagi melakar sejarah apabila dianugerahkan ASEAN Clean Tourist City Award bagi Kategori ASEAN Tourism Standards 2026–2028 di peringkat ASEAN.
Pengiktirafan berprestij itu diberikan selepas DBKU memenuhi sepenuhnya kriteria ASEAN Tourism Standards 2026–2028 serta memperoleh perakuan rasmi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada Sabtu.
Majlis penganugerahan berlangsung di Cebu, Filipina bersempena ASEAN Tourism Forum 2026 dengan anugerah tersebut diterima oleh Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam DBKU, Norhayati Bidin mewakili pihak DBKU.
Kejayaan itu merupakan pengiktirafan pertama DBKU di peringkat ASEAN, sekali gus membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa tempatan berkenaan dalam memastikan Kuching Utara kekal sebagai bandar pelancongan yang bersih, selamat, mampan dan berdaya huni, sejajar aspirasi pembangunan bandar bertaraf antarabangsa.
Untuk rekod, DBKU sebelum ini turut mencatat kejayaan di peringkat kebangsaan apabila memenangi ASEAN Clean Tourist City Standard sebanyak dua kali berturut-turut, iaitu bagi tempoh 2022–2024 dan 2024–2026.
Pencapaian berterusan tersebut menjadi pemangkin kepada usaha DBKU dalam memperkukuh tadbir urus bandar, di samping meningkatkan kualiti persekitaran bandar yang bersih, selamat dan mampan demi kesejahteraan komuniti serta pengalaman pelancongan bertaraf antarabangsa.
DBKU turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga bandar raya Kuching atas komitmen, disiplin dan kerjasama berterusan dalam memikul tanggungjawab bersama sehingga merealisasikan aspirasi menjadikan Kuching antara bandar pelancongan terbersih di rantau ASEAN.-EDISI UKAS