ADUN Pakan Tinjau Projek RTP Rumah Gelau, Lubuk Ubi
PAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom meninjau pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Gelau, Lubuk Ubi bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Menurut beliau, pendekatan turun padang penting untuk menilai kemajuan projek di samping mendengar sendiri isu dan keperluan rakyat agar setiap peruntukan kerajaan dapat dimanfaatkan secara berkesan.
Beliau juga menegaskan kejayaan pelaksanaan projek pembangunan memerlukan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan kepimpinan masyarakat bagi memastikan perancangan yang dibuat selari dengan keperluan penduduk setempat.
Menyentuh isu bekalan air, beliau memaklumkan usaha penambahbaikan sedang dilaksanakan secara berperingkat berikutan kekangan kapasiti sedia ada dan perkara itu terus diberi perhatian oleh pihak berkaitan.
Selain itu, Tan Sri William menggesa Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) supaya mengamalkan pendekatan inklusif dengan mengambil kira pandangan penduduk bagi memastikan setiap isu dapat ditangani secara menyeluruh.
Dalam lawatan itu, Tan Sri William turut mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM115,000 bagi melaksanakan pelbagai projek rakyat dan aktiviti penduduk Rumah Gelau.
Daripada jumlah berkenaan, RM100,000 diperuntukkan bagi pembinaan rumah di bawah RTP 2026, RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), RM5,000 kepada Biro Wanita.-EDISI UKAS