Tangki Air Sementara Penyelesaian Segera Isu Bekalan Air Di Kampung Sungai Mata
KOTA SAMARAHAN: Tangki simpanan bekalan air sementara menjadi penyelesaian jangka pendek untuk memastikan penduduk di Kampung Sungai Mata menerima bekalan air yang konsisten.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang berkata, pemasangan sistem tangki sementara bersama pam dan komponen injap sehala akan membantu meningkatkan tekanan air sehingga liputan kira-kira tiga kilometer termasuk ke kawasan hujung kampung.
“Tangki sementara ini adalah penyelesaian jangka pendek supaya penduduk tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penghantaran air menggunakan tong atau lori tangki.
"Kita mahu pastikan air dapat sampai terus ke rumah penduduk,” katanya ketika ditemui semasa lawatan kerja ke tapak pembinaan tangki berkenaan bersama Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang pada Isnin.
Beliau menambah, sistem itu juga akan membolehkan pengurusan pengagihan air dilakukan mengikut jadual tertentu bagi memastikan bekalan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh penduduk.
Pihaknya merancang pengagihan air pada waktu puncak seperti 4 pagi hingga 9 pagi dan petang hingga malam, supaya penduduk dapat menggunakan air untuk keperluan harian seperti mandi, memasak dan ke sekolah atau tempat kerja.
Tambah beliau, tempoh percubaan sistem tangki dan pam dijangka mengambil masa sekitar seminggu sebelum operasi penuh dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, Datuk Rubiah turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri sedang melaksanakan pelan penyelesaian jangka panjang melalui projek sumber air kedua yang disalurkan dari Loji Rawatan Air Batu Kitang ke Samarahan.
“Projek sumber air kedua ini dijangka siap sekitar hujung tahun dan apabila siap, ia akan meningkatkan kapasiti bekalan air di Samarahan secara menyeluruh,” katanya. - EDISI UKAS