Kerajaan Percepat Penyelesaian Isu Air & Elektrik Kampung Tanjung Bundong Fasa 4
KOTA SAMARAHAN: Kerajaan terus mempergiat usaha memastikan kemudahan asas khususnya bekalan air dan elektrik dapat disalurkan dengan lebih stabil kepada penduduk penempatan baharu di Kampung Tanjung Bundong Fasa 4.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, kerajaan memberi keutamaan untuk memastikan penduduk menerima sekurang-kurangnya bekalan air terlebih dahulu sementara menunggu pelaksanaan penuh projek bekalan elektrik dan infrastruktur jalan.
“Yang penting sekarang kita mahu pastikan bekalan air dapat disalurkan terlebih dahulu, manakala bekalan elektrik dan jalan memerlukan sedikit masa kerana melibatkan proses teknikal dan kos yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan kerja bersama Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang ke kampung berkenaan pada Isnin.
Lawatan tersebut turut melibatkan Sarawak Water, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Pejabat Residen Bahagian Samarahan serta Pejabat Daerah Samarahan bagi menilai perkembangan semasa penyediaan utiliti asas di kawasan berkenaan.
Datuk Rubiah menambah, antara cadangan penyelesaian segera termasuk pemasangan tangki air sementara di kawasan balai bagi menampung keperluan penduduk sementara menunggu penyelesaian kekal dilaksanakan.
Ujarnya, dengan komitmen peruntukan yang ada, kerja pemasangan sistem sementara itu dijangka boleh dimulakan dalam tempoh kira-kira sebulan sekiranya semua proses berjalan lancar.
“Kita berharap sebelum musim perayaan, sekurang-kurangnya bekalan air sudah dapat dinikmati penduduk. Sistem sedia ada juga akan diuji bagi memastikan bekalan dapat disalurkan dengan lebih baik,” katanya lagi.
Datuk Rubiah menegaskan, kerajaan sentiasa komited mencari penyelesaian terbaik termasuk menggunakan kaedah luar kebiasaan bagi mempercepatkan penyelesaian isu utiliti asas di kawasan penempatan baharu. -EDISI UKAS