BICE 2026 Perkukuh Peranan Sarawak Sebagai Hab Serantau Borneo
KUCHING: Borneo International Consumer Expo (BICE) 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai hab serantau Borneo menerusi penyertaan meluas pemain industri, usahawan tempatan, agensi kerajaan serta jenama antarabangsa dari rantau ini.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian berkata penganjuran acara berkenaan sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk memacu pembangunan ekonomi serantau serta memperluas jaringan kerjasama rentas sempadan.
“Borneo International Consumer Expo bukan sekadar platform pameran dan perniagaan, malah berfungsi sebagai medium strategik untuk meningkatkan kesedaran pengguna, menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab serta memperkukuh hubungan dan kerjasama antara pembuat dasar, pemain industri dan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutupan BICE 2026 di Pusat Konvensyen Metrocity (MCCC) pada Ahad.
Datuk Amar Profesor Dr. Sim turut merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan BICE 2026 yang menghimpunkan lebih 250 vendor, termasuk penyertaan jenama antarabangsa, usahawan tempatan serta agensi kerajaan dari Sarawak, Sabah, Brunei Darussalam dan Indonesia.
Seiring agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat, BICE 2026 turut menganjurkan Jualan Rahmah yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan bagi membantu meringankan kos sara hidup pengunjung.
Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada pemenang pelbagai program sempena BICE 2026, termasuk Borneo Star Talent yang melibatkan penyertaan bakat dari Sarawak, Sabah dan Indonesia.
Ia turut dihadiri Konsul Agung Negara Brunei Darussalam di Kuching Sheikh Abdul Madani Datuk Paduka Sheikh Abdul Ghani, Konsul Jenderal Republik Indonesia di Kuching Dr. Abdullah Zulkifli, serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol.-EDISI UKAS