SUKSAR IV: Zon Selatan Sedia Pertahan Juara Keseluruhan
KUCHING: Kontinjen Zon Selatan terdiri daripada Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian bersedia mempertahankan kejuaraan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) IV yang bakal berlangsung di Sri Aman, Betong dan Lubok Antu bermula 4 hingga 8 Februari ini.
Residen Bahagian Kuching merangkap Chef De Mission (CDM) Kontinjen Zon Selatan, Dayang Joanita Azizah Abang Morshidi berkata, kontinjen tersebut akan menampilkan kekuatan seramai 280 orang, termasuk 205 atlet, 46 pegawai pasukan serta 29 orang urus setia.
"Sasaran utama kami adalah untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan SUKSAR. Cabaran ini bukan mudah, namun saya yakin atlet Zon Selatan telah bersedia menyahutnya.
"Atlet dipilih melalui saringan ketat dan telah menjalani latihan intensif. Berdasarkan prestasi semasa, kami mensasarkan untuk mendominasi sekurang-kurangnya lima daripada 11 sukan yang dipertandingkan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Pengumuman Kesiapsiagaan Kontinjen Zon Sleatan SUKSAR IV 2026 di Pejabat Residen Bahagian Kuching di Majma Mall di sini pada Isnin.
Namun ujarnya, fokus utama adalah memastikan setiap atlet mencapai rekod terbaik peribadi masing-masing untuk menempah ‘tiket’ mewakili Sarawak ke Sukan Malaysia (SUKMA) di Selangor pada Ogos nanti.
11 jenis sukan yang dipertandingkan pada SUKSAR kali ini adalah angkat berat, berbasikal, bola jaring, taekwando, bola keranjang, petanque, ping pong, sofbol, tinju, sepak takraw dan karate.
Untuk makluman, Kontinjen Zon Selatan muncul juara keseluruhan SUKSAR III yang berlangsung di Sibu dengan kutipan 63 pingat emas daripada 105 emas dipertandingkan.
Difahamkan, Kontinjen Zon Selatan turut memburu sasaran yang sama pada tahun ini.
Dayang Joanita menambah, Zon Selatan bukan sahaja memburu kejuaraan, malah menyasarkan setiap acara yang dipertandingkan mampu melahirkan atlet bagi mewakili Sarawak ke SUKMA 2026. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Mohd Safizul Fa'izad Paisan