SUKSAR 2026 Perkenal Sistem Pengurusan Permainan Bersepadu, Perkasa Pembangunan Atlet Sarawak
KUCHING: Penganjuran Sukan Sarawak (SUKSAR) 2026 yang memasuki edisi keempat tampil dengan pelbagai inisiatif baharu khususnya dari aspek pengurusan pertandingan dan pembangunan prestasi atlet, sekali gus memperkukuh peranannya sebagai platform strategik melahirkan atlet pelapis Sarawak ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, SUKSAR 2026 menampilkan penambahbaikan utama menerusi pelaksanaan sistem pengurusan permainan bersepadu yang merangkumi pendaftaran atlet, logistik, penjadualan pertandingan dan data prestasi, sekali gus membolehkan pihak penganjur serta kementerian merancang program latihan yang lebih spesifik dan berkesan selaras dengan keperluan pembangunan sukan negeri.
“Kita membangunkan satu sistem bersepadu yang merangkumi pendaftaran atlet, keperluan dan logistik, sekali gus membolehkan pihak penganjur dan kementerian mempunyai data untuk merancang latihan yang lebih spesifik.
“Pendekatan ini juga membantu perancangan sukarelawan, jadual pertandingan dan pengurusan keputusan secara lebih teratur, selain disokong pasukan prestasi tinggi yang memberi tumpuan kepada kebajikan, prestasi fizikal, mental serta pemulihan kecederaan atlet,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang berlangsung di Studio UKAS di sini pada Isnin.
Selain itu katanya, SUKSAR 2026 turut memberi penekanan kepada aspek kebajikan dan keselamatan atlet melalui penglibatan pasukan prestasi tinggi yang memantau tahap fizikal, mental serta proses pemulihan kecederaan sepanjang kejohanan berlangsung, khususnya melibatkan atlet bawah 18 tahun.
Dalam masa sama, penganjuran kejohanan ini turut membuka peluang penglibatan komuniti setempat sebagai sukarelawan dan penyedia perkhidmatan sokongan, sekali gus memberi pendedahan serta pengalaman penganjuran sukan berskala negeri kepada masyarakat tempatan.
Berlangsung dari 5 hingga 8 Februari ini, temasya dwitahunan ini akan melibatkan 11 jenis sukan dengan penyertaan hampir 900 atlet serta lebih 300 pegawai teknikal dari seluruh negeri, melibatkan lokasi utama di Betong, Sri Aman dan Lubok Antu.
Acara sukan yang bakal dipertandingkan di empat lokasi tersebut termasuk ping pong, sofbol, tinju, petanque, bola keranjang, angkat berat, basikal lebuh raya, bola jaring, taekwando, sepak takraw dan karate.
Datuk Gerald turut menegaskan bahawa, SUKSAR bukan sahaja berfungsi sebagai medan pertandingan, malah menjadi tapak asas pembinaan atlet Sarawak secara berstruktur sebagai persediaan menghadapi temasya SUKMA dan kejohanan lebih besar pada masa hadapan.
Majlis perasmian SUKSAR 2026 dijadualkan berlangsung pada 4 Februari 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Kalang Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong akan disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Manakala majlis penutupan pada 8 Februari 2026 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Sri Aman akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Ia dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sukan akar umbi, penglibatan belia serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui sektor perniagaan kecil, penginapan, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan di kawasan terlibat, jelasnya.-EDISI UKAS