Naik Taraf RM150,000 Masjid Darul Hijrah Siap Lebih Awal
SIMUNJAN: Masjid Darul Hijrah, Simunjan kini tampil dengan wajah baharu apabila projek naik taraf bernilai RM150,000 siap sepenuhnya lebih awal daripada jadual.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan kemudahan rumah ibadat di kawasan luar bandar sentiasa berada dalam keadaan baik dan terpelihara.
“Naik taraf ini bukan sahaja memberi keselesaan kepada jemaah, malah memastikan masjid terus menjadi pusat penyatuan komuniti setempat.
“Saya berharap Masjid Darul Hijrah akan terus diimarahkan dan dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja sebagai tempat beribadah, tetapi juga sebagai pusat aktiviti kemasyarakatan,” katanya semasa menyaksikan simbolik penyerahan projek berkenaan di sini pada Isnin.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh wakil kontraktor, Hasrole Hassim kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Hijrah, Azman Mut.
Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Samarahan, Clavell Cliff Peter serta barisan ahli jawatankuasa masjid.
Projek yang dilaksanakan oleh Hana Humaira Enterprise itu mengambil tempoh pelaksanaan selama lima bulan bermula 10 September 2025 dan berjaya disiapkan pada 20 Januari 2026, iaitu lebih awal berbanding tarikh siap asal pada 24 Februari 2026.
Antara skop kerja yang dilaksanakan termasuk pembaikan dan naik taraf bumbung, pemasangan saluran air hujan (gutter), kerja-kerja siling serta mengecat semula bangunan masjid bagi meningkatkan tahap keselesaan dan keselamatan jemaah.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali.-EDISI UKAS