Pemeliharaan Budaya dan Adat Resam Penting Demi Keharmonian Masyarakat
SIMANGGANG: Kepelbagaian budaya dan adat resam yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum di Sarawak perlu dipelihara dan diharmonikan supaya tidak luput ditelan arus pemodenan yang semakin pesat ketika ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, budaya dan adat resam yang diwarisi sejak sekian lama harus disemai dalam semua lapisan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan.
“Masyarakat kita juga perlu berbangga kerana Malaysia khususnya di Sarawak mempunyai kepelbagaian budaya dan adat resam, sama ada daripada kaum Dayak, Melayu, Cina dan lain-lain.
“Ia sekali gus menjamin keharmonian negara serta menjadi tarikan pelancong, khususnya ketika musim perayaan,” katanya ketika berucap ringkas pada upacara Mengecat Mata Singa dan Mata Naga Tokong Cina Pasar Sabu anjuran Persatuan Tokong Feng Shan Gong Simanggang, di sini, kelmarin.
Selain itu, Datuk Francis Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihatkan generasi muda di Sarawak agar lebih menghargai dan memelihara budaya serta adat resam masing-masing.
Menurutnya, persatuan-persatuan boleh memainkan peranan penting dalam memupuk sikap tersebut dengan menganjurkan pelbagai program berunsur budaya dan kemuafakatan bagi mendekatkan generasi muda dengan warisan tradisi.
“Usaha ini bukan sahaja mampu membentuk jati diri sesebuah bangsa di Malaysia, malah dapat memartabatkan masyarakat negara kita yang sudah sinonim dengan kehidupan harmoni,” katanya.
Upacara tersebut diadakan bagi membuka mata singa baharu milik Persatuan Tokong Feng Shan Gong Simanggang yang akan digunakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Valentine
Foto: Pusat Khidmat DUN Simanggang