50 Penduduk Dari 22 Kampung Iban Terima Bantuan CSR SACOFA Sempena Gawai
SEBUYAU: Seramai 50 penerima dari 22 kampung Iban di kawasan Sebuyau menerima bantuan bakul makanan dan sumbangan tunai menerusi Program Pemimpin Bersama Rakyat serta penyampaian tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran SACOFA.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, program seperti itu bukan sahaja membantu meringankan beban penerima, malah mengeratkan hubungan antara pemimpin, agensi dan masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada SACOFA atas komitmen berterusan melaksanakan program CSR demi kesejahteraan masyarakat luar bandar khususnya di kawasan Sebuyau.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis itu di Kampung Bulan, di sini pada Jumaat.
Bantuan tersebut disalurkan sebagai usaha membantu golongan memerlukan sempena sambutan Hari Gawai Dayak.
Sementara dalam program serupa di Kampung Lubok Manta Sebangan, Dato Sri Julaihi mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi kerja naik taraf balai raya demi meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk kampung.
Menurut beliau, usaha seperti itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan bersama agensi berkaitan dalam menjaga kebajikan rakyat luar bandar serta memperkukuh kesejahteraan komuniti.
Di Kampung Lubok Manta, seramai 50 orang penerima daripada 12 kampung masyarakat Iban di Sebangan turut menerima bantuan bakul makanan daripada SACOFA.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SACOFA Jafer Sadiq Abdul Lhatif dan Pemangku Pegawai Daerah Sebuyau Lois Andria Barieng. -EDISI UKAS