Kewartawanan Benteng Pastikan Maklumat Tepat, Sahih & Bertanggungjawab
KUCHING: Kewartawanan berperanan sebagai benteng penting dalam memastikan masyarakat menerima maklumat yang tepat, sahih dan bertanggungjawab terutama dalam era media sosial yang menyaksikan penyebaran maklumat berlaku dengan pantas.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, meskipun sesiapa sahaja kini boleh berkongsi maklumat menerusi pelbagai platform digital, namun warga wartawan tetap memainkan peranan penting dalam menjalankan semakan fakta serta mendapatkan pengesahan daripada sumber yang sah.
Menurut beliau, kelajuan penyebaran maklumat tidak semestinya menjamin ketepatan dan kebenarannya.
"Dalam era media sosial hari ini, sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai maklumat. Berita, gambar dan video boleh disebarkan ke seluruh dunia hanya dalam beberapa saat.
"Namun, kelajuan penyebaran maklumat tidak semestinya menjamin ketepatan dan kebenarannya. Di sinilah letaknya nilai sebenar kewartawanan," katanya dalam perutusan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) pada Jumaat.
Beliau menambah, masyarakat masih memerlukan wartawan sebagai penapis maklumat yang boleh dipercayai ketika media sosial dipenuhi pelbagai dakwaan, spekulasi dan maklumat yang belum tentu kesahihannya.
Jelasnya lagi, kewartawanan yang beretika juga berperanan memerangi berita palsu, fitnah dan manipulasi maklumat yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Dalam pada itu, beliau berkata wartawan turut berfungsi sebagai penghubung antara rakyat dan pihak berkepentingan dengan membawa suara masyarakat kepada pembuat dasar selain membantu menjelaskan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat.
"Prinsip asas kewartawanan akan terus relevan walaupun teknologi dan platform komunikasi berubah selagi masyarakat memerlukan kebenaran, ketelusan dan akauntabiliti," jelasnya lagi.
Sehubungan itu, Datuk Abdullah menyeru semua pihak terus mempertahankan kebebasan media yang bertanggungjawab dan memperkukuh integriti kewartawanan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga media atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat.-EDISI UKAS