Masjid Darul Firdaus Agih 114 Kilogram Daging Korban Kepada Golongan Memerlukan
SIBU: Masjid Darul Firdaus mengagihkan sebanyak 114 kilogram daging lembu korban kepada golongan memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat gotong-royong pada Khamis.
Pengerusi Masjid Darul Firdaus, Junaidi Mohd Mokhtar berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, Datuk Michael Tiang Ming Tee turut menyumbangkan seekor lembu korban pada tahun ini sebagai tanda sokongan berterusan terhadap aktiviti kemasyarakatan di kawasan tersebut.
Menurut beliau, Masjid Darul Firdaus tidak pernah terlepas menerima sumbangan lembu korban setiap tahun sejak Datuk Michael Tiang menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.
“Terima kasih kepada Datuk Michael Tiang atas segala jasa dan keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
“Kami amat menghargai bantuan peruntukan tahunan serta sokongan Yang Berhormat terhadap pelbagai aktiviti dan program kemasyarakatan yang dianjurkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Junaidi turut memaklumkan bahawa pembinaan masjid baharu di kawasan itu akan memasuki proses seterusnya selepas sambutan Gawai.
Menurutnya, Datuk Michael Tiang bersama Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi akan memulakan tindakan susulan sebaik sahaja proses pengubahsuaian pelan oleh pihak perunding selesai dilaksanakan.
Majlis tersebut berlangsung meriah dengan kerjasama penduduk setempat yang bersama-sama menjayakan proses penyembelihan dan agihan daging korban kepada para penerima.-EDISI UKAS